Saturday, 7 January 2012

Hikmah Kejadian Wanita & Manusia


hikmah kejadian wanita



Kejadian wanita memang unik. Jika Adam dijadikan daripada inti pati tanah tetapi Hawa tidak dijadikan dari tanah. Ia dijadikan daripada sebahagian dari anggota tubuh Adam iaitu tulang rusuk Nabi Adam. Mereka dikahwinkan walaupun dari asal-usul kejadian yang berbeza. Ini suatu kejadian manusia yang sangat pelik.

Akal mungkin menganggap alangkah baiknya jika kedua-dua Adam dan Hawa dari kejadian yang sama iaitu tanah. Jika mereka sejenis barulah padan jika dijodohkan. Begitulah hujah akal manusia. Dalam Islam, ia sebenarnya terkandung satu hikmah yang besar bagi menerangkan tentang peranan wanita itu sendiri.
Kalau Tuhan jadikan Adam dan Hawa daripada tanah, semesti tanah itu sendiri berlainan jenis. Walaupun tanah menjadi perhubungan di antara Adam dan Hawa, namun ikatan itu tidak kuat. Ia seolah-olah menyatukan kedua makhluk yang berlainan. Jika mereka dari kejadian yang sama kemudian dikahwinkan, mereka seperti sahabat biasa sahaja. Sahabat biasa bukan teman yang istimewa. Jika hendak berpisah memang mudah.

Itulah di antara sebab Tuhan tidak ciptakan Hawa dari tanah seperti Adam. Allah cipta Hawa dari diri Adam sendiri iaitu dari tulang rusuknya. Hakikatnya , rohaniah, perasaan dan fizikal mereka seolah-olah dari satu jasad yang sama. Di sinilah perkongsian suami isteri itu bermula.
Barulah perkongsian suami isteri itu di anggap sebagai teman setia, sehidup, semati, seperjuangan dan yang paling baik bekerjasama. Pasangan suami isteri itu tidak sempurna jika tidak ada bersama-sama. Ia bukan sahaja menyempurnakan dari sudut biologi tetapi juga dari sudut menjaga anak, berjuang dan berjihad. Jika ada isteri sahaja dalam pengurusan rumahtangga, belum sempurna lagi penyusunan rumahtangga itu. Kedua-duanya mesti ada barulah sempurna.

sayang

Dalam Islam, rumahtangga seolah-olah satu bahagian di bahagi kepada dua. Ia bukan berasal dari dua keluarga yang disatukan. Dalam Islam hendak pisahkan sangat susah kecuali jika terdesak. Umpama satu badan, bukan senang hendak potong sebahagian anggota lain. Anggota itu adalah pelengkap kepada badan tersebut. Tanpa salah satu dari anggota itu, ia dikatakan cacat. Jika pasangan suami isteri dikatakan sebagai kawan, tidaklah memadai kerana peranan suami isteri terlalu banyak. Bahkan ia lebih dari hubungan seorang kawan. Peranan suami isteri itulah sahabat, pembantu, penghibur, penasihat, kawan seperjuangan. Bila susah sama-sama susah dan bila senang sama-sama senang. Ikatan yang banyak ini sudah cukup kuat bagi pasangan suami isteri. Ia tidak mudah terungkai. Kalau peranan suami isteri itu banyak dan hanya satu yang terungkai, ada ikatan lain yang masih boleh mengukuhkan itu banyak. Kalau ikatannya satu sahaja iaitu sebagai kawan tidak cukup. Ikatan itu mudah terungkai. Kalau banyak peranan, hanya satu yang terungkai, masih ada ikatan lain yang boleh mengukuhkan hubungan suami isteri itu. Itulah hikmah Hawa tidak dijadikan dari tanah tetapi daripada satu juzuk badan Adam. Ia seolah-olah senyawa dan saling memerlukan di antara satu sama lain dalam semua hal seperti cari rezeki, jaga anak, mengatur perjuangan, mencari ilmu. Itulah hikmah kejadian wanita.

Tambahan pula jika pasangan suami isteri itu dididik dengan agama. Ikatan suami isteri itu bertambah memberi makna. Di waktu muda, pasangan suami isteri banyak membuat hubungan biologi. Inilah yang mengerat hubungan suami isteri. Tetapi jika sudah lanjut usia, hubungan biologi sudah kurang. Agamalah yang menguatkan hubungan suami isteri. Allah menuntut pasangan suami isteri dengan tuntutan-tuntutan yang mesti ditunaikan oleh kedua belah pihak demi untuk menjaga hak-hak masing-masing dalam sistem kekeluargaan.

Agama banyak mengajar pasangan manusia saling berbuat baik di antara satu lain. Ini menimbulkan perasaan kasih sayang yang mendalam sekalipun, hubungan biologi sudah kurang. Agama merapatkan hubungan suami isteri. Perkahwinan itu betul-betul dibina di atas rasa yang suci murni. Ia seolah olah kembali kepada waktu manusia itu dicipta ketika zaman Adam dan Hawa yang berasal dari satu juzuk diri Adam. Mereka adalah dari satu badan.

suami isteri

Tanpa agama, akan hilanglah ikatan kasih sayang suami isteri kerana hubungan biologi yang sudah hambar . Kalau tidak dididik dengan agama dan tidak ada ikatan biologi yang kuat, ia akan menjarakkan pasangan tersebut. Semakin tua semakin jauh. Kadang-kadang duduk serumah tetapi dua tiga hari tidak berjumpa. Ada dan tidak ada sama sahaja. Tetapi kalau orang dididik dengan agama tidak berlaku demikian. Itulah hikmahnya Tuhan tidak jadikan kedua-duanya dari tanah. Ia dua perkara berbeza iaitu tanah dan tulang rusuk tetapi satu nyawa dari tubuh badan Nabi Adam. Seolah-olah apa perasaan Adam itulah perasaan Hawa. Kalau apa perasaan Hawa itulah perasaan Adam.

Pasangan suami isteri boleh bercerai kerana tidak ada agama. Ditambah pula dengan berbagai perkara maksiat pula. Agamalah sebagai pengikat suami isteri. Jika tidak ada agama seolah-olah hilang pengikat. Ikatan yang paling utuh ialah tali Allah. Syariatlah yang akan menjadikan pasangan suami isteri sentiasa dalam keadaan yang romantis dan harmoni serta mendapat keredhaan Allah di dunia dan akhirat sekalipun sudah tua usia perkahwinannya . Inilah hikmah kejadian manusia.





Sekian.

No comments:

KLIK!KLIK!ENTRY PENA

get this widget here
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...