Assalamualaikum.....hari ni ada member opis tanya,puasa sunat 6 ni kena berturut2 or boleh putus2?apa yang sy faham boleh putus2 asalkan cukup 6 hari dalam bulan syawal..tp,tkt jgk kan nk confirm dengan org..sy pun search la internet dulu...jumpa 1 blog hamba Allah ni yg sudi share pasal puasa sunat 6..sy pun copy paste la dari blog http://sahamump.blogspot.com/2011/09/puasa-sunat-enam-syawal-kelebihan-dan.html ...meh la kita baca sesama ya...if ada sapa2 yg nak share lagi kot ada yg terkurang boleh la share erk...sharing is caring....:)
Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Qadha campur Sunat
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.
Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain
puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di
luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa
pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa
tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).
Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu
‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah
subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):
(( كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي
بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ
عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ )) رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah
untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah
menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang
yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.”
[Sahih Muslim no: 1151] Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang
menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ
سَبْعِينَ خَرِيفًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt
menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no:
2840]
Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena
dengan bulan Syawal ini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat
ini.
Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.
Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
(( مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ
الدَّهْرِ)) رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan
enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih
Muslim hadis no: 1164].
Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas
bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.
Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan
mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari
sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300
hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika
dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam
setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan
ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.
Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.
Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari
sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan
Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat
seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula
menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna
pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah,
puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk
berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu
sendiri.
Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah
baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan
ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini
seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata
kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang
hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana
itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada
bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.
Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.
Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi
dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat
dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).
Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya
kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa
Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.”
[Syarah Sahih Muslim 8/56]
Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh
1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari
tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
( أَنَّ رَسُولَ اللهِ r نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى،
وَيَوْمِ الْفِطْرِ ) رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.”
[Sahih Al-Bukhari no: 1991].
Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?
Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib
pada bulan Ramadhan.
Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:
1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara
terputus?
Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak
berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan
Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari
ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan
hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari
dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan
Syawal.
Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan
umum firman Allah swt:
] وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ
وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ [ [آل عمران: 133]
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk
mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang
bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang
bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]
2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.
Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat
enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum
diqadhanya?
Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah
radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu
diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
( كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ
أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ
بِالنَّبِيِّ r) رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu
mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah
saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan
“kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi
hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]
Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak
mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat
enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha
puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam
Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.
Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan
puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini.
Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia
mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa
sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian
barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan
puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan
puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha
terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.
Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat);
Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain
dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah
yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan
sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah
tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.
Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk
melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat
mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama
boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.
Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan
jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang
berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan
mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan
qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].
قال النووي في شرح مسلم: "وَمَذْهَب مَالِك وَأَبِي حَنِيفَة وَالشَّافِعِيّ
وَأَحْمَد وَجَمَاهِير السَّلَف وَالْخَلَف: أَنَّ قَضَاء رَمَضَان فِي حَقّ مَنْ
أَفْطَرَ بِعُذْرٍ كَحَيْضٍ وَسَفَرٍ يَجِب عَلَى التَّرَاخِي، وَلا يُشْتَرَط
الْمُبَادَرَةُ بِهِ فِي أَوَّل الإِمْكَان."
Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat
dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha
Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub
Al-Ilmiah, Beirut].
3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.
Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus
menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di
bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa
yang satu?
Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat
tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau
dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah,
tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.
Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap
akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat
menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada
seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah
Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar
9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]
Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar
atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat
(Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut
tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang
diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh
hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang
tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana
mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan
kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub
Al-Ilmiah, Beirut]
Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini,
tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga
mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha
dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat
fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid
akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.
Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan,
kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan
amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang
menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang
hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat)
dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula),
kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat
dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.
Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit
atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat
digalakkan oleh Rasulullah saw.
Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada
mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini
pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang
ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.
Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu
apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat
menunaikannya di masa hadapan.
Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa
wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya.
Sebagaimana sabda Nabi saw:
(( إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ
مُقِيمًا صَحِيحًا )) رواه البخاري.
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat
melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala
seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu
sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]
Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di
redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini
dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang
mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.
وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين.
No comments:
Post a Comment